Monday, December 28, 2015

# DETOX # INFO: DIET

7 CARA MUDAH KEMPISKAN PERUT LEPAS BERSALIN


Antara kerisauan yang sering mengganggu para wanita selepas bersalin adalah masalah perut buncit dan menggeleber. Terasa hilang keyakinan diri tatkala memerhatikan perut yang banyak meninggalkan parut rekahan dan bentuk yang semakin menggeleber.

Sebenarnya ada banyak cara yang ibu boleh lakukan untuk mendapatkan kembalil perut kempis bak anak dara atau sekurang-kurangnya tidak buncit seperti wanita hamil tiga bulan. Misi mendapatkan kembali perut kempis boleh direalisasikan asal sahaja ibu ada kemahuan dan berdisiplin. Nak tahu apa caranya? Perhatikan senarai berikut. Nampak macam senang tetapi ia memerlukan disiplin yang tinggi demi sebuah misi.



Menyusukan bayi sepenuhnya
Jangan pernah malas untuk memberi bayi susu ibu. Selain khasiatnya yang kita sedia maklum memberi banyak kebaikan kepada bayi, menyusukan bayi juga mempercepatkan proses pengecutan rahim dan membakar 200 hingga 600 kalori sehari.

Berbengkung dalam pantang
Ada ibu yang malas hendak memakai bengkung ketika berpantang. Kononnya leceh dan merimaskan. Tetapi kesukaran tersebutlah membuatkan anda boleh dapatkan kembali perut yang kempis. Oleh itu jangan culas berbengkung sepanjang berpantang. Tetapi pakai bengkung dengan cara yang betul kerana jika tidak boleh memudaratkan.

Bertungku dan bertangas
Amalan ini juga semakin jarang dilakukan oleh ibu selepas bersalin walhal ia merupakan kaedah tradisional untuk memecahkan darah beku, lemak dan mengurangkan bengkak dalam rahim.  Bertangas pula dapat memecahkan lemak, angin dan air berlebihan dalam badan yang ada sepanjang mengandung.

Jaga makan
Jangan terlalu mengikut selera makan yang kadang kala sukar dikawal. Walaupun sebagai ibu menyusu, anda tidak digalakkan berdiet berlebihan tetapi jangan ambil kesempatan untuk makan sesuka hati. Pastikan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang bagi membekalkan nutrien kepada bayi dan dalam masa yang sama mengelakkan masalah perut buncit dan menggeleber. Kurangkan makanan berlemak dan berminyak, sebaliknya ambil makanan berprotein secukupnya bagi membina semula otot serta makanan membakar lemak seperti oat, kekacang, bayam dan salmon.

Jangan lupa bersenam
Aktiviti senaman tidak dinafikan turut membantu menyelesaikan masalah perut buncit. Lakukan senaman kardiovaskular dan abdomen bagi membantu mengempiskan perut. Pastikan anda mengamalkan senaman yang khusus untuk membentuk perut daripada jurulatih yang diiktiraf. Lakukan secara konsisten untuk mendapatkan kesan yang dikehendaki.

Hati-hati dengan postur badan
Jangan pandang remeh dengan cara pergerakan anda setiap hari. Kebanyakan ibu selepas bersalin kurang prihatin terhadap postur badan ketika berjalan, duduk dan mengangkat barang. Postur yang salah turut menyumbang kepada masalah perut buncit dan menggeleber.

Jom detoks
Kaedah detoksifikasi menggunakan bahan-bahan semula jadi turut membantu mendapatkan perut yang kempis. Lebihan toksin yang berkumpul dalam badan terutama bahagian perut perlu dikeluarkan. Amalkan proses detoksifikasi secara konsisten bagi membuang toksin dalam badan terutama bahagian perut.

jom sama2 kita amalkan..hihi

No comments:

POPULAR POSTS

Follow Me