Wednesday, September 15, 2010

# INFO

Google Instant lebih pantas


Enjin pencari Google Inc kini lebih pantas apabila mempamerkan keputusan carian sebelum pengguna habis menaip.

Teknologi baru digelar ‘Google Instant’, berupaya memproses dua saat hingga lima saat lebih pantas setiap carian Internet, kata Google sambil menambah ia akan menarik lebih ramai pengguna membuat lebih banyak carian pada laman web.
Dengan peningkatan persaingan daripada peserta Internet lain seperti Microsoft Corp, Yahoo Inc dan Facebook, teknologi itu memberikan Google kelebihan kepada pelayar web dan pengiklan dalam talian.

“Bagi kami belum ada sesiapa menyediakan ‘search-as-you-type’ kepada pengguna,” kata Marissa Mayer, Naib Presiden Penyelidikan dan Pengalaman pengguna Google di Museum of Modern Art San Francisco, Rabu lalu.

Sewaktu pembentangan mendedahkan Google Instant, Mayer mengandaikan teknologi baru itu seperti stering berkuasa pada kereta.

“Sejurus anda biasa dengannya, amat sukar untuk berpatah balik,” kata Mayer.
Teknologi itu kini sudah diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) sejak Rabu lalu, bererti enjin carian Google boleh melayan ramalan cuaca tempatan sejurus pengguna menaip huruf ‘W’ di kotak carian.

Sekiranya pengguna menaip perkataan ‘weather’ di dalam kotak carian, keputusan pada muka enjin carian dengan serta merta akan membuka semula dan menukar keputusan sewajarnya.

Google sebelum ini menawarkan satu ciri yang mencadangkan pertanyaan carian popular sewaktu pengguna menaip perkataan dalam kotak carian, tetapi ciri baru ini memberikan keputusan dengan lebih pantas lagi.

Penganalisis berkata, teknologi baru itu boleh membantu Google, enjin carian nombor satu dunia, meningkatkan penguasaan pasaran.

Penganalisis di Stifel Nicolaus, Jordan Rohan berpendapat Google Instant berpotensi merubah penggunaan Internet pada masa depan.

– Reuters

No comments:

POPULAR POSTS

Follow Me