Thursday, September 16, 2010

# INFO

16 Sept Cuti Umum Penuh Makna Bagi Semua

Oleh Nur Adika Bujang

KOTA KINABALU, Sept 14 (Bernama) -- Sehingga tahun lepas 16 Sept, tanggal kelahiran Malaysia, merupakan cuti umum bagi penduduk Sabah dan Sarawak sahaja.

Lagipun, di Sabah tarikh itu tidak meraikan hari penubuhan Malaysia secara langsung sebaliknya ia diraikan sebagai harijadi rasmi Yang Dipertua Negeri dengan acara perbarisan dan pengurniaan pingat di Istana Negeri.

Dan tidak ramai yang menyedari bahawa sambutan harijadi Yang Dipertua Negeri ini bertujuan memperakui penyatuan Sabah dalam gagasan Malaysia bersama Malaya dan Sarawak.

Tetapi semua itu berubah Oktober lepas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa cuti umum pada 16 Sept akan dilanjutkan kepada Semenanjung dengan tarikh itu diraikan sebagai Hari Malaysia bermula tahun ini.

Najib berpendapat cuti itu adalah selaras dengan semangat 1Malaysia untuk menjalin perpaduan di kalangan pelbagai kaum, termasuk memperkukuh integrasi nasional antara rakyat di Semenanjung, dan mereka di Sabah dan Sarawak.

SABAH TUAN RUMAH SAMBUTAN JULUNG KALI

Adalah rasional sekiranya sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang julung kali, diadakan sama ada di Sabah atau Sarawak.

Malahan tempat yang paling sesuai untuk sambutan itu adalah tidak lain di Padang Merdeka di Sabah, tempat bersejarah di mana Hari Malaysia diisytiharkan pada 47 tahun yang lepas.

Di tempat itu jugalah di Kota Kinabalu, dulunya dikenali sebagai Jesselton, bermulanya di mana Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Fuad Stephens membuat pengisytiharan pembentukan gagasan Malaysia pada 16 Sept, 1963. Tun Mustapha Harun menjadi pemimpin pertama Sabah.

Selepas Sabah, pengerusi bersama penganjur sambutan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum, berpendapat adalah adil jika sambutan Hari Malaysia tahun depan diadakan pula di Sarawak sebagaimana signifikasi Sabah dalam gagasan Malaysia.

Masidi berkata, sambutan itu yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan digunakan sebagai platform untuk mendidik orang ramai terutama generasi muda, mengenai pembentukan Malaysia dan perbezaan antara tarikh 16 Sept dan 31 Ogos (Hari Kemerdekaan), menerusi pameran oleh Arkib Negara dan negeri serta muzium.

Walaupun gagasan Malaysia dibentuk pada 1963, masih ramai sama ada di Semenanjung atau Malaysia Timur masih tidak memahami bagaimana ia terbentuk.

Membawa tema "Menjana Transformasi" sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan cekap, kami juga berharap sambutan peringkat kebangsaan ini akan dapat mengubah minda orang ramai agar mereka lebih menghargai negara ini di samping membina semangat berpasukan dan perpaduan, katanya.

Masidi juga berkata, sambutan itu juga boleh mengingatkan orang ramai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bahawa mereka adalah sama di bawah satu gagasan.

MENGIKTIRAF SABAH DAN SARAWAK

Mohamed Nazim Maduarin, 30, berkata langkah kerajaan mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti umum bagi seluruh negara kena pada tempatnya kerana tidak ramai warga Malaysia sedar akan pentingnya tanggal itu dalam sejarah negara.

Peguam daripada masyarakat Bajau ini memberitahu Bernama dengan meraikan Hari Malaysia, penduduk Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan sahaja dapat memperingati tarikh kelahiran Malaysia tetapi juga dapat menghargai konsep Malaysia itu sendiri.

Turut bersetuju dengan Mohamed Nazim, Pengurus Komunikasi dan Kawalan Mutu Shanti Doraisingam, 37, berkata langkah itu mengingatkan rakyat yang Sabah dan Sarawak juga adalah sebahagian daripada Malaysia.

"Semua ingat Semenanjung mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos, sementara Sabah dan Sarawak mendapat kemerdekaan pada 16 Sept.

"Jika Sabah dan Sarawak sahaja yang bercuti pada 16 Sept, ia bagaikan kedua-dua negeri itu bukan sebahagian daripada Malaysia," kata beliau.

Shanti, darah kacukan India-Cina, berkata ia juga menunjukkan perdana menteri menepati janjinya untuk menyatukan rakyat dan langkah mengisytiharkan 16 Sept sebagai cuti seluruh negara membayangkan semangat sebenar 1Malaysia.

"Saya harap tiada lagi jurang antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak," tambah beliau.

CUTI UMUM SUMBANG KEPADA EKONOMI

Sementara itu, Lam Chee Wah, 36, pemilik bersama Fook Yuen, sebuah kedai kopi popular di Kota Kinabalu, berkata satu lagi cuti umum bermakna perniagaan baik baginya.

"Apabila penduduk mempunyai masa untuk diluangkan, mereka boleh beristirehat atau rakan-rakan dari Semenanjung boleh menghabiskan cuti di sini.

"Mereka boleh nikmati cara hidup di Sabah, yang mewakili cara hidup di Malaysia di mana sehinggakan di kedai-kedai kopi milik bukan Islam pun orang Melayu boleh dilihat duduk bersama rakan-rakan Cina atau Kadazan menikmati teh tarik dan roti bakar," kata beliau.

Lam berkata tahap penerimaan di kalangan penduduk Sabah adalah sangat tinggi sehinggakan seorang umat Islam sanggup membeli minuman dalam tin di restoran bukan halal hanya untuk berbual dengan rakan-rakan bukan Islam.

"Banyak restoran bukan Islam di sini berusaha memenuhi citarasa pelanggan Islam, khasnya mereka dari Semenanjung yang mencari kedai-kedai makan bersijil halal," tambah beliau.

Lam berkata kedai kopi beliau kelihatan seperti kedai kopi bukan halal lazim kerana nama Cina padanya, tetapi ia tetap popular di kalangan umat Islam kerana ia tidak menghidangkan daging babi.

Sekarang, kedai kopi itu mempunyai persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan satu paparan LED yang besar dengan logo halal JAKIM dalam kedai itu memberi jaminan kepada masyarakat Islam akan makanan halal dan khidmat pada harga berpatutan di Fook Yuen, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

POPULAR POSTS

Follow Me